MATEMATIK DAN KANAK-KANAK

MATEMATIK DAN KANAK-KANAK



Pengenalan

Kebelakangan ini pengkaji dalam bidang psikologi kognitif telah memainkan peranan yang penting dalam mengkonsepkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan awal matematik kepada kanak-kanak. Konsep pembelajaran matematik kini dikonsepkan sebagai sesuatu proses dimana kanak-kanak membina dan membentuk ilmu didalam bidang metematik dengan memperkaitkan ilmu atau konsep yang baru diperolehi dengan ilmu atau konsep yang sedia ada pada mereka.

Matlamat yang perlu difokuskan dalam pendedahan awal pengajaran dan pembelajaran matematik kepada kanak-kanak pada peringkat awal persekolahan ialah pembinaan pemahaman konseptual awal matematik, kebolehan berkomunikasi tentang matematik dan penggunaan matematik dalam penyelesaian masalah ( NCTM, 1989 )

Kajian dalam bidang pemikiran awal kanak-kanak dalam matematik popular dikaji bermula sejak dari zaman Piaget lagi

Perkembangan Awal Pemikiran Matematik Kanak-Kanak

Kajian-kajian awal telah menunjukkan bahawa perkembangan pemikiran kanak-kanak dalam bidang ini menunjukkan perkembangan yang berperingkat-peringkat, dimana terdapat limitasi yang jelas tentang kemahiran tertentu pada peringkat-peringkat yang tertentu ( Piaget, 1952 ).

Piaget dalam kajian awalnya telah mengaitkan limitasi-limitasi ini kepada tahap-tahap perkembangan kognitif yang telah dicadangkan dalam teorinya. Walau bagaimana pun pengkaji-pengkaji selepasnya mempunyai pandangan yang berlainan tentang kenapa kanak-kanak menunjukkan limitasi tersebut ( Donalson, 1978 ).

Perkembangan awal dalam bidang matematik telah mula dijalankan diperingkat bayi lagi untuk melihat kebolehan mereka. Namun bagi tujuan kertas kerja (assignment) ini, ianya akan menerangkan pelan atau perancangan pengajaran dalam aktiviti berkaitan dengan pembelajaran awal matematik kanak-kanak diperingkat pra sekolah. Aktiviti yang dapat menarik minat kanak-kanak dalam pendidikan awal matematik. Fokus pada peringkat ini bermula dengan kemahiran mengenali angka, membilang dan mengira angka-angka pada kuantiti yang lebih kecil. ( Grffin, Case & Siegler, 1994 )

Model tahap Perkembangan Matematik Asas yang dicadangkan oleh
Fuson (1982)

Kurikulum Prasekolah

Kurikulum Prasekolah mengambil kira ciri-ciri dan keperluan pendidikan moden terhadap kanak-kanak masa kini. Kurikulum ini meliputi aspek bahasa dan komunikasi, kognitif, sosial-emosi dan perkembangan fizikal, pendidikan islam dan nilai moral. Begitu juga dalam pendidikan estetika dan kreativiti.

Keseragaman kurikulum juga termasuk membaca, matematik, sains, muzik, seni, drama, fizikal, sosial dan aktiviti afektif. Kesemua aktiviti ini membantu kanak-kanak membina pengetahuan dan menggunakan pengetahuan itu kearah yang bermakna. (Rohani Abdullah, 2010).

Kandungan yang terdapat dalam kurikulum Prasekolah kebangsaan;

a )Komponen Bahasa dan komunikasi.Komponen ini terbahagi kepada :

i. Kurikulum Bahasa Melayu
ii. Kurikulum Bahasa Cina
iii. Kurikulum Bahasa Tamil
iv. Kurikulum Bahasa Inggeris

b ) Komponen Perkembangan Kognitif

c ) Komponen Kerohanian dan moral. Terbahagi kepada dua;

i. Kurikulum Pendidikan Islam dan
ii. Kurikulum Pendidikan Moral

d ) Komponen Perkembangan sosioemosi

e ) Komponen Perkembangan fizikal

f ) komponen kreativiti dan estetika

Teori Pembelajaran

Bagi menerangkan proses pembelajaran dalam pendidikan awal matematik di peringkat prasekolah, pelbagai teori telah dikemukakan oleh ahli psikologi sejak zaman Scocrates dan Plato lagi. Teori pembelajaran yang kerap dirujuk oleh para pendidik dan penyelidik sebelum ini, iaitu;

a) Behaviurisme
b) Kognitif
c) Humanistik
d) Konstruktivisme

Teori-teori pembelajaran yang pernah dipelajari seperti teori behaviurisme dan teori kognitif, yang juga disebut sebagai teori modenis, menyatakan bahawa ilmu pengetahuan terdiri daripada fakta yang nyata dan benar. (Aminah Ayob, 2005). Ianya adalah benar dan tidak boleh diubah atau ditukar.

Maka pembelajaran tentang fakta itu hendaklah dilakukan secara didaktif dan objektif supaya fakta itu dapat di pindahkan kepada pelajar secara “bulat”. Pembelajaran awal matematik diperingkat prasekolah melibatkan teori kognitif iaitu memfokus kepada proses disebalik tingkahlaku yang diperhati dijadikan sebagai petunjuk kepada apa yang mungkin berlaku dalam minda pelajar. Teori ini menerangkan pembelajaran sebagai proses yang melibatkan pemerolehan dan penyusunan semula struktur kognitif kepada bentuk yang bermakna dan mudah diigat oleh pelajar.

Bermula dengan teori perkembangan kognitif Piaget (Good & Brophy, 1990) teori ini menerangkan bahawa skema ( the internal knowledge structure ) berkembang apabila kanak-kanak berintekraksi dengan persekitarannya dan skema itu sentiasa berkembang dan berubah kerana menyerap dan menyimpan maklumat baru.

Teori Kognitif

Perkembangan kognitif kanak-kanak boleh didefinisikan sebagai paras pengetahuan dan keupayaan kanak-kanak menggunakan pelbagai pengetahuan tersebut untuk memahami dunia sekitar mereka. Perkembangan kognitif menekan proses pembentukan konsep, penaakulan dan penyelesaian masalah, ketika menimba ilmu dengan menggunakan berbagai-bagai ransangan dan media. Perkembangan kognitif merangkumi proses pengelasan, konsep ruang, konsep nombor, proses sains dan menyelesaikan masalah. Murid menguasai kemahiran kognitif melalui interaksi sebenar menggunakan pelbagai bahan yang mudah didapati disekeliling mereka seperti butang, tutup botol, biji benih, batu, bongkah dan lain-lain.

Objektifnya:

a) Berfikir secara logic matematik melalui manipulasi objek secara konkrit.
b) Meningkatkan kemahiran berfikir dan kemahiran proses sains.
c) Meningkatkan sikap ingin tahu dan suka meneroka.
d) Meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian. (Shahizan Hassan, 2006)

Pendekatan Pembelajaran Matematik

Sebagai seorang guru prasekolah, seharusnya mengetahui cara-cara pendekatan pengajaran yang sesuai dengan tahap umur diperingkat ini supaya sesuai dengan perkembangan diri kanak-kanak, kebolehan, kematangan dan menyeronokkan. Disamping itu, guru juga haruslah memastikan bahawa pengajarannya menyeronokkan, kepelbagaian dan afektif, supaya pengajaran akan menarik minat kanak-kanak untuk mengambil bahagian dalam proses pembelajaran. Rujuk Gambar Satu, kanak-kanak leka bermain sambil belajar.

Guru-guru harus juga memastikan setiap murid mempunyai pilihan untuk belajar. Dengan ini setiap guru perlu merangka dan merancang setiap pengajarannya. Kurikulum prasekolah telah menetapkan empat pendekatan yang digunakan semasa pengajaran dan pembelajaran iaitu;

i ) Pendekatan belajar sambil bermain
ii ) Pendekatan bertema
iii ) Pendekatan bersepadu
iv ) Komunikasi dan maklumat teknologi
( Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, 2003 )

Pendekatan Bersepadu

Pendekatan yang dipilih dalam pendidikan awal matematik untuk kertas kerjakali ini adalah pendekatan bersepadu. Pendekatan bersepadu ini membolehkan kanak-kanak memahami kehidupan setelah berakhirnya pengajaran yang diberikan oleh guru. Mereka akan belajar apa saja yang terjadi di dalam kehidupan sebenar yang mempunyai kaitanya diantara satu sama lain dan tidak mempunyai keteransingan diri.
Pendekatan Bersepadu Terdiri;

a ) Intergrasi diantara komponen
b ) Intergrasi kemahiran dan nilai positif
c ) Intergrasi aktiviti didalam bilik darjah dan luar bilik darjah
d ) Intergrasi penumpuan aktiviti terhadap guru dan juga kanak-kanak
e ) Intergrasi kepelbagaian kaedah dan teknik.

Pendekatan bersepadu boleh juga digunakan untuk aktiviti yang mempunyai kaitan dengan bermain. ( Dr Zahyah Hanaf, 2010 ) Gambar 2 menunnjukkan set alat permainan yang diginakan sebagai alat bantuan mengajar.

Pengurusan Pengajaran Dan Pembelajaran Didalam Matematik

Memandangkan tugas seorang guru prasekolah agak padat maka perancangan aktiviti yang berkesan amat penting pada seorang guru. Guru hendaklah mempelbagaikan aktiviti pengajaran supaya dapat menarik perhatian kanak-kanak prasekolah.

Antara aktiviti tersebut ialah:

a ) Aktiviti di dalam bilik darjah
b ) Aktiviti berkumpulan
c ) Aktiviti perseorangan

 Aktiviti di dalam bilik darjah

Aktiviti di dalam bilik darjah melibatkan semua pelajar dalam aktiviti yang sama. Kebiasaannya aktiviti berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh guru melalui penerangan, arahan, penceritaan, pertanyaan dan menjawab soalan diakhir sesi pembelajaran. Gambar 3 menunjukkan aktiviti bermain secara berkumpulan dalam bilik darjah.

Aktiviti berkumpulan

Aktiviti berkumpulan sangat penting kerana melalui aktiviti ini kanak-kanak belajar berkongsi dan menanti giliran untuk mengambil bahagian. Apabila bermain dalam aktiviti berkumpulan, guru hendaklah memastikan setiap kumpulan melibatkan kedua-dua jantina dan juga bangsa yang berlainan. Kumpulan hendaklah dalam kuantiti yang kecil agar semua kanak-kanak dapat melibatkan diri atau mengambil bahagian. Guru boleh memilih aktiviti yang sama atau berlainan. Objektif utama adalah untuk membentuk kanak-kanak supaya dapat bekerjasama untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.

Aktiviti Perseorangan

Disamping aktiviti didalam bilik darjah dan berkumpulan, guru juga hendaklah mengadakan aktiviti perseorangan.. Ada ketikanya aktiviti perseorangan sesuai kepada kanak-kanak kerana ianya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berdikari dan membenarkan guru memberi arahan secara perseorangan kepada kanak-kanak. Permainan individu juga boleh menggunakan computer.

Plan Pengajaran Dan Pembelajaran

Plan aktiviti pengajaran dan pembelajaran didalam bilik darjah ini berlangsung selama setengah jam (1/2 jam). Aktiviti ini adalah bagi kanak-kanak 5 tahun. Perancangan aktiviti ini melibatkan permainan konsep nombor.
Subjek: Matematik
Jumlah Pelajar : 20 orang
Umur : 5 Tahun
Masa : 9 am hingga 9.30am. ( 1/2 jam )

9.00am-9.05am
Induksi
Memperkenalkan bongkah dan konsep nombor
Guru menerangkan sambil menunjukkan bongkah.
Kanak-kanak akan memahami

9.05am-9.15am
Memberikan pengalaman deria sentuh kanak-kanak kepada konsep nombor & kuantiti. Menggunakan bongkah yang berbagai-bagai bentuk. kanak-kanak memegang 2 bongkah, satu ditangan kiri dan satu di tangan kanan, sambil berkata “satu bongkah” .Setiap kali mereka menunjukkan bongkah pada tangannya. Kemudian, sambil menunjukkan kedua-dua bongkah mereka berkata lagi “ dua bongkah”.cara yang sama juga dilakukan pada nombor yang seterusnya. Lama-kelamaan, kanak-kanak boleh mengatur bongkah-bongkah itu mengikut ciri-ciri yang lain.

9.15am-9.25am
Bagi mengembangkan kebolehan membilang secara berturutan dan mengikut kedudukan seperti pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Kanak-kanak mengambil beberapa ketul bongkah. Setiap orang membilang bongkah satu demi satu. Kanak-kanak lain memerhatikan dengan teliti.

1. Beberapa ketul bongkah diatur dalam satu baris dan kanak-kanak membilang.
2. Satu susunan yang tinggi seperti menara disusun menggunakan bongkah . Kanak-kanak membilang ketul-ketul bongkah yang digunakan bagi membuat binaan itu.
3. Bongkah-bongkah disusun berbaris seperti kereta api. Kanak-kanak diminta menunjukkan kedudukan bongkah pertama,kedua, ketiga dan lain-lain. Aktiviti ini dijalankan selepas kanak-kanak biasa dengan konsep nombor. Pada peringkat permulaan jangan melebihi angka 5 kemudian 10.

9.25am-9.30am
Memberi rasa keseronokkan belajar metematik Guru menyanyi bersama kanak-kanak sebuah lagu yang mempunyai sebutan nombor sambil menggunakan jari-jemari. Lama-kelamaan kanak-kanak dapat ,membilang dengan menggunakan jari sambil menyanyi.

Rumusan

Berdasarkan plan pengajaran yang digunakan oleh guru didalam kertas kerja ini, kanak-kanak seawal usia prasekolah sebenarnya amat tertarik dengan pembelajaran matematik. Guru haruslah memainkan peranan yang dapat menarik perhatian kanak-kanak supaya rasa minat itu tidak pudar apabila melangkah ke alam persekolahan dan akhirnya keperingkat yang lebih tinggi lagi.

Pengetahuan asas yang kuat dalam bidang matematik adalah penting dalam masyarakat kita yang menuju kearah sebuah Negara maju yang berteraskan Sains dan Teknologi. Pelajar-pelajar kita perlu mempunyai kefahaman yang kuat terhadap konsep-konsep matematik asas yang akan membolehkan mereka melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi . Bagi menjamin masa depan Negara , kita perlu menkaji semula dan menggunakan pendekatan yang lebih berkesan dalam mengajar kanak-kanak asas pemikiran tentang metematik dari peringkat awal persekolahan.

Pembelajaran matematik bukan saja diperluaskan disekolah malah ianya bermula diprasekolah lagi. Ini kerana pembelajaran yang berkesan dari usia kanak-kanak lagi akan membentuk satu asas pembelajaran yang kukuh yang dapat membantu mereka untuk meneruskan pembelajaran diperingkat yang lebih tinggi lagi.




Comments

Popular Posts