SAINS DAN AWAL KANAK-KANAK
Sains didefinisikan sebagai ilmu yang boleh menerang dan memahami sifat alam. Bidang sains mengandungi tiga aspek iaitu kognitif, psikomotor dan afektif. Menurut Abruscato (2000), sains adalah proses yang melibatkan kemahiran intelek dan manipulatif bagi mendapatkan maklumat berhubung alam semula jadi. Dengan kata lain, sains adalah pengetahuan yang diperolehi melalui aplikasi proses saintifik. Penerapan pendidikan awal sains seharusnya dimulakan pada peringkat lebih awal lagi (Vygotsky, 1984). Ini kerana matlamat pendidikan awal sains kepada kanak-kanak dapat membentuk dan memupuk perkembangan dalam aspek pengetahuan dan kemahiran (Harlan & Jelly,1989). Bidang ilmu sains membekalkan rangka konsep bagi membolehkan kanak-kanak memahami alam sekeliling. Pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap bidang sains adalah penting bagi perkembangan konsep-konsep saintifik serta perkembangan intelek yang lain.
Apa Itu Awal Sains?
Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Kanak-kanak merupakan saintis muda semula jadi yang sentiasa mencari maklumat, menyiasat dan meneroka di persekitaran untuk memenuhi perasaan ingin tahu mereka. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif, sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Penerokaaan dijalankan ke atas alam hidupan (contoh: tumbuhan dan haiwan), alam bahan (objek tenggelam timbul , air dan magnet), dan alam fizikal. Komponen awal sains di peringkat kanak-kanak melengkapkan kanak-kanak dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap positif dalam diri mereka.
Pengenalan
Kanak-kanak perlu melibatkan diri dalam proses pembelajaran sains secara inkuiri untuk memperolehi dan seterusnya menguasai kemahiran seperti memerhati, membanding, meramal, berkomunikasi, mengelas dan mengukur. Kemahiran-kemahiran ini diperlukan untuk mendapatkan maklumat seperti:
Bagi memenuhi rasa ingin tahu, menanamkan semangat cintakan alam, meningkatkan daya kreatif dan imaginasi, meningkatkan keupayaan menyelesaikan masalah, meningkatkan kualiti hidup, mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran saintifik, membina pemahaman konsep asas sains, meningkatkan pemikiran logik dan kritis serta memupuk minat terhadap sains dan teknologi.
Peranan Guru Dalam Aktiviti Awal Sains
Guru harus merancang dengan teliti pengajaran dan pembelajaran sains yang akan dijalankan mengikut keperluan, minat dan persekitaran kanak-kanak untuk menjadikan pembelajaran lebih bermakna. Aktiviti yang dijalankan mestilah melibatkan semua kanak-kanak secara aktif, mencabar, menyeronokkan dan memberi makna kepada mereka. Melalui cara tersebut, sikap positif kanak-kanak terhadap pembelajaran sains akan ditanam dengan lebih kukuh. Pembelajaran sains di peringkat ini diajar berdasarkan tema tertentu supaya dapat menarik minat kanak-kanak berkaitan dengan keadaan semasa seperti musim buah-buahan, perayaan dan sebagainya.
Comments
Post a Comment